Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pinjaman perumahan untuk penjawat awam. Sekiranya anda bekerja dalam sektor awam dan ingin membeli rumah, jangan terlepas peluang keemasan ini!
Memilik rumah sendiri adalah impian setiap insan tetapi harga rumah yang semakin mahal merumitkan lagi proses untuk mendapatkan kediamaan dan pembiayaan yang sesuai dengan pendapatan anda.
Bagi penjawat awam, pembiayaan perumahan melalui LPPSA ini mungkin tidak asing lagi. Badan berkanun ini bertindak untuk menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan untuk penjawat awam yang masih belum mempunyai kediaman sendiri.LPPSA telah berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2016 dan sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan Malaysia.
Jika anda seorang penjawat awam dan bercadang unutk membeli kediaman sendiri, pinjaman perumahan melalui LPPSA ini merupakan salah satu skim perumahan yang perlu anda teliti dan ambil tahu. Panduan lengkap pinjaman perumahan kerajaan (LPPSA) untuk penjawat awam ini akan membantu anda untuk lebih faham akan peraturan am permohonan pembiayaan serta jenis-jenis pembiayaan yang ditawarkan oleh badan berkanun ini. Mari kita lihat satu persatu.
1. Syarat-syarat kelayakan bagi pemohon pembiayaan LPPSA
Sekiranya anda ingin memohon pembiayaan ini, anda mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
- Warganegara Malaysia
- Penjawat awam/ sektor awam yang berjawatan tetap
- Sudah menerima surat pengesahan jawatan
- Berkhidmat sekurang-kurangnya setahun
- Borang permohonan hendaklah dikemukakan setahun sebelum bersara atau tamat perkhidmatan
- Perjanjian Jual Beli (Sales & Purchase Agreement) atau Perjanjian Pembinaan Rumah perlu disaksikan oleh seorang peguam
- Anda mestilah bukan seorang yang:
- Bankrap
- Terlalu banyak berhutang
- Bekerja makan gaji yang kurang berkemampuan
- Dalam proses dikenakan tindakan tatatertib
Dokumen Perjanjian Jual Beli (Sales & Purchase Agreement) wajib disertakan dengan salinan sijil nikah atau pendaftaran perkahwinan yang disahkan oleh Ketua Jabatan pemohon bagi permohonan pembiayaan bersama suami isteri, ambil alih pembiayaan, serta pinjaman bersama.
Lihat cara-cara permohonan LPPSA di sini.
2. Skim pembiayaan
Skim pembiayaan yang dipilih akan menentukan prinsip dan cara pinjaman anda diuruskan. Dalam pinjaman perumahan kerajaan, skim pembiayaan perumahan kerajaan terbahagi kepada dua iaitu:
- Skim Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (SPPSA) – Konvensional
Bagi perlindungan terhadap pinjaman, peminjam Skim SPPSA diwajibkan mengambil insurans.
- Skim Pembiayaan Perumahan Sektor Awam Secara Islam (SPPSAi) – Islamik
Pinjaman Secara Islam Mengikut Prinsip ‘Al- Bai Bithaman Ajil’ dimana jualan adalah dengan harga tertangguh (bayaran balik secara ansuran) dan boleh dipohon oleh semua penjawat awam tanpa mengira agama. Bagi perlindungan terhadap pinjaman, peminjam SPPSAi diwajibkan mengambil takaful.
3. Kemudahan dua kali pinjaman
Ramai yang tidak tahu, anda boleh membuat pinjaman sebanyak dua kali dengan pihak kerajaan. Walaubagaimanapun, pinjaman yang ingin dibuat perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang ingin memanfaatkan peluang ini untuk membeli rumah sebagai pelaburan, ia merupakan salah satu pilihan yang sangat menarik.
- Pinjaman pertama
Pembelian Harta Pertama atau Pinjaman Ubah Suai Rumah Yang Tidak Dibeli Melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan.
- Pinjaman kedua
Pembelian Harta Kedua atau Pinjaman Ubah Suai Rumah Yang Dibeli Melalui Pinjaman Perumahan Kerajaan.
4. Jenis pembiayaan
Skim pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan ini tidak terhad kepada pinjaman bagi rumah yang telah siap atau dalam pembinaan. Secara umumnya, berikut adalah tujuh jenis pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada pemohon.
- Jenis 1
Pembelian rumah kediaman yang telah siap
- Jenis 2
Membina rumah di atas tanah sendiri
- Jenis 3
Pembelian rumah kediaman yang sedang dibina
- Jenis 4
Membeli tanah dengan tujuan membina rumah
- Jenis 5
Menyelesaikan hutang pinjaman perumahan dengan bank atau institusi kewangan
- Jenis 6
Membina rumah kediaman di atas tanah yang dibeli melalui pinjaman Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP)/ LPPSA
- Jenis 7
Membuat kerja ubah suai rumah atau petak rumah kediaman
Walaupun di bawah satu pembiayaan yang sama, setiap jenis pembiayaan ini mempunyai syarat yang tersendiri dan berbeza mengikut kategori masing-masing. Anda boleh membuat rujukan lebih lanjut bagi maklumat ini dengan melayari laman web LPPSA.
5. Amaun kelayakan pinjaman
Bagi mengetahui amaun kelayakan pembiayaan, kelayakan akan diberikan berdasarkan pengiraan daripada gaji bersih anda setelah melakukan segala pengiraan komitmen wajib yang lain. Bagi pembiayaan pertama ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada pendapatan bersih dan hutang tidak melebihi 80 peratus daripada pendapatan bersih. Bagi pembiayaan kedua, ansuran bulanan tidak melebihi 50% daripada pendapatan bersih dan hutang tidak melebihi 80%.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh merujuk pengiraan amaun kelayakan pembiayaan berdasarkan jadual di bawah. Anda juga boleh menggunakan Kalkulator LPPSA yang telah disediakan pada laman web mereka untuk menentukan jumlah kelayakan pinjaman.
Bil | Pendapatan Bersih | Kelayakan Maksimum |
1 | 6,500 ke atas | 750,000 |
2 | 6,000 | 720,000 |
3 | 5,700 | 680,000 |
4 | 5,500 | 650,000 |
5 | 5,000 | 600,000 |
6 | 4,700 | 560,000 |
7 | 4,500 | 540,000 |
8 | 4,300 | 510,000 |
9 | 4,000 | 470,000 |
10 | 3,800 | 450,000 |
11 | 3,500 | 420,000 |
12 | 2,900 | 340,000 |
13 | 2,300 | 270,000 |
14 | Sehingga 1,700 | 200,000 |
Sumber: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)
Perlu diingatkan, amaun kelayakan pembiayaan mungkin berbeza dengan amaun yang akan diluluskan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Malah, amaun kelayakan juga tidak menentukan anda betul-betul mampu memberi komitmen bulanan seperti mana yang anda layak. Apa yang penting, lakukan pengiraan tahap kewangan peribadi anda sendiri untuk menentukan jumlah pembiayaan yang mampu dibayar sebagai komitmen ansuran bulanan.
6. Amaun kelulusan pinjaman
Bagi amaun kelulusan pinjaman, terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui:
- Jumlah pembiayaan yang diluluskan adalah termasuk harga hartanah, kos bayaran Insurans / Takaful gadai janji, Insurans / Takaful pemilikan rumah kediaman dan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan (termasuk cukai atau apa-apa kos yang dibenarkan oleh Lembaga).
- Bagi kos yuran guaman, kos ini adalah terpakai untuk yuran dokumentasi pembiayaan sahaja, tidak termasuk yuran urusan perjanjian jual beli dan pindah milik.
- Bagi amaun pembiayaan kedua, amaun yang diluluskan adalah tertakluk kepada perbezaan antara kelayakan semasa dengan amaun yang telah diambil bagi pembiayaan pertama.
- Untuk pembiayaan yang ingin digunakan bagi tujuan ubah suai (Jenis 7) yang diluluskan pula adalah tertakluk kepada ansuran bulanan tidak melebihi 50 peratus termasuk bayaran balik pembiayaan pertama daripada pendapatan bersih. Amaun pembiayaan kerja tambahan yang diluluskan bagi pembelian rumah kos rendah adalah tidak melebihi RM20,000.
7. Kadar faedah yang ditawarkan oleh LPPSA
Berikut merupakan kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak kerajaan atau LPPSA. Perlu diingatkan, sekiranya anda meninggalkan perkhidmatan awam, kadar faedah pinjaman yang diberi akan berubah mengikut kadar faedah berikut:
- 4% setahun di atas baki pokok (kadar faedah/ keuntungan biasa).
- 7% setahun di atas baki pokok (kadar faedah/ keuntungan meninggalkan perkhidmatan)
8. Ansuran bulanan
Salah satu faktor yang menarik bagi pinjaman kerajaan ialah, kepelbagaian pilihan bagi bayaran ansuran bulanan pinjaman yang telah dibuat. Berikut adalah pilihan yang anda boleh manfaatkan bagi pembayaran balik iaitu:
- Potongan gaji
Bagi peminjam yang dalam perkhidmatan
- Potongan pencen
Bagi peminjam yang bersara
- Bayaran Sendiri
Tamat perkhidmatan tentera/tunggakan
- Sekaligus
Meninggalkan perkhidmatan kerajaan
- Ganjaran
Mengikut syarat terkini yang ditetapkan
9. Penangguhan bayaran balik
Tahukah anda, sebenarnya peminjam layak untuk memohon penangguhan bayaran balik ansuran bulanan dalam keadaan berikut:
- Peminjam yang diluluskan cuti separuh gaji atau cuti tanpa gaji untuk melanjutkan pelajaran atas tajaan kerajaan bagi Sijil/Diploma/Ijazah/Sarjana/PhD dalam negara dan luar negara.
- Peminjam yang diluluskan cuti separuh gaji atau cuti tanpa gaji untuk mengikuti suami atau isteri yang melanjutkan pelajaran atas tajaan kerajaan bagi Sijil/Diploma/Ijazah/Sarjana/PhD dalam negara dan luar negara.
- Peminjam yang diluluskan cuti separuh gaji atau cuti tanpa gaji bagi tempoh minimum setahun kerana mengikuti suami/isteri yang bertugas dengan kerajaan di luar negara.
- Pelanggan yang mengambil cuti menjaga anak bagi tempoh minimum setahun yang bersambung daripada tamat tempoh cuti bersalin.
Bagi kadar faedah/keuntungan pinjaman yang sudah mengambil penangguhan, kadar akan diambil kira ke atas baki pembiayaan dan jumlah faedah/keuntungan berkenaan akan dibahagikan ke atas baki tempoh pembiayaan. Tempoh keseluruhan bayaran balik pembiayaan adalah kekal seperti perjanjian asal.
Semasa tempoh penangguhan bayaran balik, pembiayaan perlu dilindungi Insurans/Takaful Gadai Janji. Jumlah Insurans /Takaful tambahan perlu dibayar sendiri oleh pelanggan kepada panel Insurans/Takaful setelah permohonan penangguhan dipertimbangkan oleh Lembaga.
Semoga artikel ini dapat membantu anda sebagai penjawat awam memahami sembilan perkara yang penting sebelum membuat pinjaman perumahan. Dengan mengetahui perkara ini, anda akan lebih jelas mengenai pinjaman perumahan kerajaan LPPSA ini dan dapat membuat keputusan yang lebih baik bersesuaian dengan pembelian rumah anda nanti. Semoga berjaya!
Sila hubungi saya untuk semak kelayakkan loan LPPSA:
- Nama: Mohamad Suhairi (REN 26837)
- CCI Property
- H/P: 010-3622016 (Call/Sms/Whatsapp)
- Email: suhairi.alias@gmail.com
- Perunding Hartanah Berdaftar/ Developer Team Marketing
- #JualRumah #BeliRumah #RumahMurah #AgentHartanah #Ejen #Hartanah